Persembahan Oleh
Not A Production
Isnin : 14 April 2025

Teater Bunker 501

Dalam dunia yang dilanda krisis oksigen akibat perubahan iklim ekstrem, enam individu dari latar belakang berbeza terperangkap dalam sebuah bunker misteri yang kononnya dibina untuk pemulihan manusia. Namun, semakin lama mereka bertahan, semakin tersingkap rahsia gelap di sebalik kewujudan Bunker 501—sebuah sistem penjana tenaga berasaskan manusia. Antara pengkhianatan, konspirasi korporat dan dilema moral, mereka perlu memilih antara menyelamatkan diri atau membongkar kebenaran yang boleh mengubah nasib dunia.

Persembahan Oleh
Atisuto
Selasa : 15 April 2025

Teater Tanpa Lafaz Cinta

Qaseh dan Amir merupakan dua insan yang bertemu di sebuah kerusi panjang di tempat awam. Perkenalan secara tidak sengaja telah membuahkan bibit-bibit cinta antara mereka, tetapi masing-masing tidak berani meluahkan perasaan masing-masing. Satu insiden telah membuatkan mereka berpisah. Qaseh dan Amir, antara kepercayaan dan skeptikal terhadap harapan. Salah satu harus bertahan.

Persembahan Oleh
EJKLSeni
Rabu : 16 April 2025

Teater Lagu Terakhir Bobohizan

Dua beradik, Aduh dan Sanda, berpegang pada kepercayaan berbeza dalam menghadapi krisis iklim—Aduh dengan warisan spiritual Bobohizan, dan Sanda dengan sains moden. Ketika dunia semakin tenat, mereka mula menyedari bahawa penyelesaian tidak terletak pada satu jalan sahaja. Aduh belajar menghargai data, manakala Sanda cuba merasai semangat bumi. Di antara tradisi dan teknologi, mereka mencari titik pertemuan demi masa depan. Kisah ini menimbulkan persoalan penting kepada semua: “Apa pilihanmu?”

Persembahan Oleh
Kelambulan
Khamis : 17 April 2025

Teater Karma Sutera

Dalam dunia kapitalis yang mementingkan keuntungan, seorang gadis dihadapkan ke Mahkamah kerana cuba menyelamatkan alam sekitar. Dianggap sebagai ancaman kepada kemajuan ekonomi, dia berdepan sistem yang korup dan pemimpin tamak. Kini, dia harus memilih antara melawan demi kebenaran atau menyerah kepada dunia yang menolak suaranya.

Persembahan Oleh
Pelinggam Cahaya by SOTA – USM
Sabtu : 19 April 2025

Teater Kedarah

Dalam dunia dystopia yang dilanda kebuluran dan krisis makanan akibat pemanasan global, golongan elit masih hidup mewah sementara rakyat menderita. Joe, seorang pemuda yang dibesarkan dengan penuh perhatian dan pendidikan oleh John dan Jane, sebenarnya disediakan untuk menjadi pemimpin masa depan. Namun, selepas kematian mereka, penjaganya yang baru, Jae, menyimpan niat jahat—mengubah Joe menjadi sumber daging eksotik tanpa pengetahuan Joe sendiri. Kisah ini mengangkat persoalan kemanusiaan, pengkhianatan, dan nilai hidup dalam dunia yang kehilangan arah.

Persembahan Oleh
Parallact Art
Ahad : 20 April 2025

Teater Oasis Di New Sahara

20 tahun selepas dunia melalui waktu siang dan kemarau berpanjangan, seorang lelaki muda yang optimistik, seorang ayah yang terdesak, serta anak perempuannya yang hanya mampu mentafsir dunianya melalui filem dan novel mengembara untuk mencari harapan hidup baharu di Oasis di tengah lapangan gersang New Sahara, namun semua usaha mereka tergugat apabila mereka bertemu dengan bekas teman wanita si ayah yang tersesat dan semakin hilang kewarasannya di sebuah kontena.

Persembahan Oleh
Lionsage
Isnin : 21 April 2025

Teater Tenggelamnya

Mengisahkan Budi yang trauma dan dipenuhi kesakitan selepas kehilangan isteri dan ayahnya akibat banjir besar. Dahulu, kawasan perumahannya selamat kerana dikelilingi hutan, namun pembangunan rakus memusnahkan alam sekitar, menjadikan banjir satu ancaman nyata. Budi mula membenci hujan dan berusaha melindungi anak perempuannya yang masih tinggal bersamanya. Namun, pada tahun ketiga, hujan kembali meragut orang tersayang — anak perempuannya — tepat pada hari ulang tahunnya. Budi menyalahkan kerakusan manusia dan menganggap hujan sebagai musuh yang kejam dalam hidupnya. Drama ini menggambarkan penderitaan individu akibat kerosakan alam yang didorong oleh ketamakan manusia.

Persembahan Oleh
TITK Production
Selasa : 22 April 2025

Teater Perubahan Ikleem

Mengisahkan tentang sebuah kumpulan Rock wanna be bernama Ikleem. Kumpulan ini amat mengidolakan kumpulan Rock Iklim. Mereka baru sahaja kehilangan seorang vokalis kumpulan. Mereka sedang dalam usaha untuk mencari vokalis kumpulan yang baru namun ketika ujibakat mereka dihadiri oleh beberapa peserta yang menghadapi masalah-masalah yang berkaitan dengan situasi perubahan iklim

Persembahan Oleh
Kayumanes
Rabu : 23 April 2025

Teater Weather From Within

Naskhah ini mengisahkan Sulaiman, seorang petani yang tabah menghadapi cabaran hidup akibat perubahan cuaca yang tidak menentu. Kedatangan cucunya, Arissa, membuka kembali lembaran kisah silam Sulaiman—kehilangan tunang, kemiskinan akibat kemarau, kematian isteri pertama dalam banjir, dan keputusasaan yang hampir menenggelamkan semangatnya. Namun, kehadiran Qhasidah, isteri keduanya, membawa sinar harapan dan kekuatan untuk meneruskan hidup dan perjuangan sebagai petani. Kisah ini menonjolkan ketabahan, cinta, dan semangat juang dalam mendepani ujian hidup dan kehancuran alam.

Persembahan Oleh
Kejar Tayang
Khamis : 24 April 2025

Teater Gila

Roslan pulang ke kampung dengan tekad menyelamatkan alam sekitar, namun masa lalunya sebagai bekas penagih menjadikan perjuangannya dipandang sinis. Dicemuh sebagai gila, Roslan berdepan dengan penduduk kampung dan rakan lamanya yang menolak amaran tentang perubahan iklim. Hanya Ramlah percaya padanya, sementara Salman dan Bashir punya agenda tersembunyi. Antara kebenaran dan manipulasi, kisah ini mempertanyakan siapa sebenarnya waras—Roslan yang berjuang, atau masyarakat yang menolak realiti. “GILA” menyelami batas kewarasan dalam menghadapi krisis alam dan manusia.